KUALA LUMPUR 26 Nov. – Syarikat pemaju yang didakwa terlibat dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman di Putra Heights tampil menafikan pelbagai teori kononnya mereka merupakan pencetus kekocohan tersebut.
One City Development Sdn. Bhd. (One City) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa dakwaan kononnya pihak syarikat itu yang `mengorkestrakan’ kejadian rusuhan tersebut sebagai satu penipuan berniat jahat.
Syarikat itu juga malah memberitahu pihaknya menolak segala bentuk tindakan keganasan sehingga boleh menyebabkan berlakunya perbuatan keji seperti itu.
“Yang lebih penting, One City komited untuk berpegang teguh kepada sistem perundangan dalam isu pemilikan tanah di tapak kuil tersebut.
“Ini telah menjadi asas kepada semua tindakan yang telah diambil oleh One City dalam mendapatkan semula tanah miliknya,” jelas syarikat itu.
Dalam kejadian awal pagi tadi, kira-kira 18 kenderaan terbakar selepas tercetusnya rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights dekat sini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kerana perselisihan faham antara dua kumpulan berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil berkenaan.
One City juga memberitahu pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak benar terhadap syarikat tersebut.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan juga menegaskan bahawa bukan niat pihaknya mahu menimbulkan situasi kekecohan dan ketegangan itu di atas tapak tanah milik sendiri.
“Ini telah menjejaskan tujuan One City melalui proses perundangan yang panjang dan memohon bantuan pihak berkuasa dalam usaha memudahkan penempatan semula kuil itu dalam suasana aman dan teratur,” jelas syarikat tersebut. – UTUSAN ONLINE











