Rusli Ramli Panglima Armada Barat baharu - Utusan Malaysia

Rusli Ramli Panglima Armada Barat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Laksamana Muda Datuk Rusli Ramli dilantik sebagai Laksamana Madya dan menjawat jawatan Panglima Armada Barat berkuat kuasa hari ini.

Rusli menggantikan Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad yang bakal bersara daripada perkhidmatan setelah berkhidmat hampir 41 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebelum ini, Rusli menjawat jawatan panglima di Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) dan telah memacu selama satu tahun sembilan bulan. Jawatan beliau kini disandang Laksamana Muda Datuk Aris Adi Tan Abdullah.

Majlis serah tugas Panglima Armada Barat serta pemakaian pangkat pegawai kanan TLDM di Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM Lumut itu disaksikan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya menaruh harapan tinggi kepada semua pegawai dan anggota agar berganding bahu, komited dan bertanggungjawab dalam tugas demi mendokong segala usaha transformasi TLDM ’15 to 5′.

“Curahkanlah keikhlasan tugas dan komitmen tertinggi bagi memastikan TLDM berada di landasan yang tepat dan terbaik,” katanya.

Dalam majlis tersebut, turut dilantik Laksamana Pertama Roslan Mohd Yunus menggalas jawatan Komander Pangkalan Lumut (Kompal) berkuat kuasa hari ini.

Roslan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Udara, menggantikan Laksamana Muda Datuk Alias Baharuddin yang akan bercuti seterusnya meneruskan persaraan pada 1 Julai 2019 setelah berkhidmat hampir 42 tahun.

Turut menerima pemakaian pangkat, seorang tetamu kehormat Prof Dr Sakina Sofia Baharom yang dikurniakan Kapten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM. 

Beliau merupakan pengarah di Bahagian Transformasi Pendidikan bagi Mara Corporations, iaitu subsidiari kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan bekas Naib Canselor di UNITAR International University. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN