Rusli Panglima Armada Barat TLDM yang baharu - Utusan Malaysia

Rusli Panglima Armada Barat TLDM yang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 15 Nov.- Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli dilantik sebagai Panglima Armada Barat yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Pahlawan Mohamad Adib.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Auditorium Venus Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL), Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di  sini hari ini disaksikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruldin.

Laksamana Madya Datuk Pahlawan Mohamad Adib yang berkhidmat selama 41 tahun bersama TLDM akan menamatkan perkhidmatannya pada Jun 2019.

Turut dilantik, Laksamana Muda Datuk Aris Adi Tan Abdullah menggantikan Laksamana Muda Datuk Rusli Ramli sebagai Panglima Pendidikan dan Latihan (PPL).

Sepanjang menjawat jawatan PPL lebih setahun, Rusli sangat mengutamakan aspek pendidikan dan latihan dalam kalangan ‘The Navy People’ supaya berada dalam landasan betul.

Selain itu, Laksamana Pertama Roslan Yunus turut dilantik sebagai Komander  Pangkalan Lumut menggantikan Laksamana Muda Datuk Pahlawan Alias Baharuddin.

Pada Majlis itu juga, seramai tiga pegawai TLDM dan  Pengarah Bahagian Trasformasi pendidikan bagi MARA Corporation,  Prof. Dr. Sakina Sofia Baharom dinaikkan pangkat.

Sakina Sofia dinaikkan pangkat sebagai Kapten (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM(PSSTLDM).

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut dan berharap dengan kenaikan pangkat itu,  aspek pengurusan dan kerja TLDM dapat dijelmakan secara berterusan.

“Saya berharap mereka yang dinaikkan pangkat dapat mencurahkan dan memberi komitmen bagi memastikanTLDM berada pada landasan terbaik. Saya menaruh harapan tinggi kepada setiap anggota agar dapat berganding bahu dan komited demi menyokong transformasi TLDM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN