KUALA LUMPUR 26 Nov. – Zoo Negara akan membuka rumah pameran reptilia terbesar di dunia pada pertengahan tahun hadapan sebagai tarikan baharu pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli berkata, setakat ini, rumah pameran seluas 0.4 hektar itu telah 94 peratus siap manakala pihak zoo juga telah menyediakan 18 spesis reptilia yang akan ditempatkan di situ.
“Rumah pameran ini akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan dan kita akan membukanya kepada orang ramai selepas mengumpulkan 36 spesis reptilia yang akan diambil dari pelbagai negara.
“Antara reptilia yang akan dipamerkan adalah kepelbagaian jenis ular dan cicak. Kita yakin dengan pembaharuan ini jumlah pengunjung yang hadir ke sini akan bertambah,” katanya dalam sidang akhbar sempena ulang tahun ke-55 Zoo Negara di Zoo Negara di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana.-UTUSAN ONLINE










