Rosmah minta RM187.5j - Utusan Malaysia

Rosmah minta RM187.5j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Buat kali kedua isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kali ini, beliau berdepan pertuduhan meminta rasuah melalui pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor sebanyak 15 peratus atau RM187.5 juta daripada nilai kontrak Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

‘Permintaan’ tersebut adalah sebagai dorongan membantu syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak Holdings) mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rosmah turut didakwa mene­rima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah Urusan syarikat terbabit, Saidi Abang Samsudin sebagai upah atas ‘bantuannya’ membantu Jepak Hol­dings mendapatkan projek itu.

Kedua-dua pertuduhan di­ke­mukakan mengikut Sek­syen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Mohd. Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Jumlah jaminan tersebut tidak dibantah oleh salah seorang peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent namun memohon agar jumlah tersebut dibayar dalam tempoh 10 hari.

Hakim Azman Ahmad me­netapkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dengan RM500,000 perlu dibayar hari ini manakala baki­nya perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh hari.

Kes itu akan disebut semula pada 10 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×