KUALA LUMPUR – Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan secara rasuah meminta dan menerima suapan melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM189 juta.
Bagaimanapun, Rosmah, 67, yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad
Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang sejumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings Sdn. Bhd. mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1,250,000,000 secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Bistro, pusat beli-belah Sunway Putra Mall di sini pada Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah juga didakwa menerima bagi dirinya suapan iaitu wang berjumlah RM 1,500,000 daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. berhubung projek yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini pada
7 September 2017.
Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – K! ONLINE










