PUTRAJAYA 30 Nov. – Sejumlah RM500,000 dana yang dikumpul melalui kempen Yayasan Kebajikan Negara-Tabung Rakyat Palestin diserahkan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Wang hasil sumbangan orang ramai dan syarikat korporat itu diserahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Pengarah Perkongsian Strategik UNRWA, Abdi Aynte.
Wan Azizah berkata, sejak pelancaran kempen tersebut sehingga hari ini dana yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM737,054.
“Selain itu, melalui dana yang sama kita turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa-mangsa peperangan di Tebing Barat dan Gaza.
“Kita menyasarkan kutipan untuk dana ini akan meningkat kepada RM1 juta sehingga penghujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan dana untuk Tabung Rakyat Palestin di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE.










