IPOH 28 Nov. – Kerajaan negeri memperuntukkan RM46 juta untuk membantu golongan miskin menerusi Program Kad Makanan dan Kad Kesihatan, Program Tabung Usahawan, Program Sayangi Rumahku dan Bantuan Kotak Harapan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM43 juta merupakan bantuan akan dilaksanakan Yayasan Perak secara teratur, cekap dan berkesan mulai tahun 2019.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM17 juta bagi Program Kad Makanan dan RM5

juta bagi Kad Kesihatan kepada 17,000 penerima yang layak dengan setiap penerima menerima kad makanan yang bernilai RM80 sebulan dan kad kesihatan dengan nilai RM300 setahun bagi setiap keluarga.
“Program ini akan melibatkan peruntukan RM22 juta. Penerima boleh mendapatkan barangan keperluan bulanan atau perkhidmatan perubatan di kedai atau klinik berdaftar yang berhampiran dengan rumah masing-masing tanpa perlu menggunakan wang tunai,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Zainun Mat Noor (BN- Chenderoh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Asmuni berkata, di bawah Program Tabung Usahawan, bantuan pinjaman kewangan tanpa faedah disediakan kepada usahawan dan usahawan belia dalam kalangan B40 melalui Program Tabung Usahawan.
Katanya, bantuan itu diberikan bertujuan untuk membolehkan peminjam mengembangkan perniagaan sedia ada dan kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi tujuan ini dan pelaksanaan bantuan berkenaan akan dipantau bagi memastikan ia digunakan sebaiknya serta bayaran semula dibuat peminjam.
“Di bawah Program Sayangi Rumahku, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak akan memberi peruntukan RM5 juta bagi tahun 2019. Bantuan ini untuk membaik pulih rumah sedia ada atau membina rumah baharu berdasarkan siasatan kelayakan yang dijalankan setelah menerima permohonan bagi memastikan keperluan sebenar,” katanya.
Asmuni berkata, Program Rumah Harapan pula adalah bantuan pinjaman tanpa faedah yang diberikan kepada peminjam yang ingin memiliki rumah pertama di atas tanah milik sendiri untuk didiami dengan maksimum pinjaman RM62,000 dan peruntukan RM10 juta disediakan bagi tujuan itu.
“Bantuan Kotak Harapan dilaksanakan bagi membantu golongan berkelayakan dengan penyediaan barangan makanan keperluan melalui peruntukan RM1 juta oleh kerajaan negeri dan mengutamakan mereka tidak mendapat bantuan melalui kad makanan,” katanya.










