KUALA LUMPUR 15 Nov. – RHB Asset Management Sdn. Bhd. (RHBAM) menjangka akan memperoleh langganan RM200 juta untuk setiap Dana RHB Syariah China Focus dan Dana RHB Global Artificial Intelligence (AI) dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Wilayah, Eliza Ong berkata, menerusi Dana RHB Syariah China Focus, para pelabur berpeluang melabur dalam pasaran modal Islam yang berkembang pesat di China, dengan memanfaatkan ekonomi kuasa besar bagi nilai pelaburan saham A dan saham H di semua sektor.
Akan diuruskan oleh pengurus dana China terkemuka, China Asset Management (Hong Kong) Ltd. (ChinaAMC HK), Dana RHB Syariah China Focus juga akan melabur dalam portfolio Islam lain seperti amanah pelaburan hartanah, Dana Dagangan Pertukaran Islam, instrumen pasaran wang, skim deposit dan pelaburan kolektif.
“Kami merancang melancarkan dana China yang patuh Syariah pertama di Indonesia pada Januari 2019 dan yakin ia akan berjalan lancar di pasaran. Kami juga akan melancarkan produk di pasaran lain yang kami beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas upacara pelancaran di sini. hari ini.
Pengurus Portfolio Kanan ChinaAMC HK, Raymond Jing berkata, penilaian semasa ekuiti China telah mencapai paras terendah dalam sejarah.
“Bersama-sama dengan kemasukan saham A ke dalam indeks global, ia membuka pelbagai peluang dan masa yang baik untuk para pelabur,” katanya.
Sementara itu, Dana RHB Global AI, yang diperkenalkan dengan kerjasama Allianz Global Investors (AllianzGI), akan melabur dalam syarikat yang mendapat manfaat daripada penggunaan infrastruktur AI, pembangunan dan penggunaan perisian.
Pengarah dan Pengurus Portfolio AllianzGI, Stephen B Jue berkata, terdapat 60 sektor berpotensi yang boleh dikaitkan dengan industri AI yang akan manfaatkan.
“Kami sedang bekerjasama dengan RHBAM untuk membawa dana AI kami kepada para pelabur di sini, kerana kami percaya ia akan memberi peluang pelaburan yang menarik bagi mereka yang ingin melabur dalam syarikat inovatif dengan memanfaatkan teknologi AI,” tambahnya. – BERNAMA









