KUALA LUMPUR 27 Nov. – RHB Bank Bhd. merekodkan keuntungan bersih bernilai RM1.74 bilion, peningkatan 16.8 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2018.

Pengarah Urusan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, bagi suku ketiga tahun kewangan 2018, RHB merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM578.69 juta berbanding RM488.83 juta suku sama tahun lalu.
Perolehan RHB turut meningkat daripada RM2.96 bilion pada suku ketiga 2017 kepada RM3.2 bilion bagi suku ketiga tahun ini.
“Prestasi kumpulan menunjukkan daya tahan walaupun menghadapi keadaan pasaran yang mencabar dan ketidaktentuan dalam ekonomi global. Tahap modal yang mantap, kedudukan mudah tunai yang sihat dan liputan yang mencukupi bagi kerugian pinjaman membantu kami mengukuhkan pertumbuhan yang mapan.
“Keuntungan yang direkodkan untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, RHB berhasrat untuk meningkatkan prestasi dan pertumbuhan serta memberikan kecemerlangan perkhidmatan menerusi ‘Strategi Lima Tahun FIT22’ yang juga disokong oleh program transformasi digital.
“Ini membolehkan kami untuk memberi tumpuan bagi menyediakan interaksi tambah nilai dan perkhidmatan bersesuaian berdasarkan segmen yang berbeza,” katanya.
Sementara itu, perniagaan Islamik RHB Group merekodkan peningkatan 15.8 peratus tahun ke tahun bagi keuntungan sebelum cukai berjumlah RM416.5 juta.










