SEREMBAN 28 Nov. – Program ‘Love Food No Waste’ tidak hanya dijayakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan sebaliknya turut mendapat kerjasama Klana Resort Seremban dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf serta Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9).
Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, melalui program itu pihaknya memberi fokus kepada makanan bufet yang belum disentuh dan masih baik untuk dimakan.
“Pihak hotel akan membungkus lebihan makanan dan kemudiannya diserahkan kepada Perkasih N9 untuk diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Program berbentuk kebajikan ini akan dibuat secara berkala sama ada secara harian atau mingguan.
“Dengan cara ini ia dapat mengelakkan pembaziran makanan dan dalam masa sama membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Zahir, buat permulaan sebanyak 30 pek makanan dari hotel itu telah diedarkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Senawang dekat sini.
“SWCorp akan cuba memperluaskan lagi program itu dan bekerjasama dengan pelbagai jenis hotel yang beroperasi di sekitar Port Dickson dan Seremban.
“Dengan jumlah hotel yang banyak di negeri ini, saya yakin program tersebut dapat digerakkan secara besar-besaran dan memberi manfaat lebih besar kepada golongan miskin,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya telah mengenal pasti golongan yang akan menerima pek makanan daripada hotel berkenaan.
Katanya, sebagai contoh PPR Senawang mempunyai banyak penghuni dalam kalangan miskin, kurang upaya dan anak yatim.
“Saya harap melalui cara ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan ini,” ujarnya.
Katanya, sebelum ini Perkasih N9 telah bekerjasama dengan pasar raya untuk mengagihkan secara percuma makanan basah dan sayur-sayuran kepada golongan miskin.










