“Syukur Alhamdulillah, banyak hajat dan impian saya dapat dicapai sepanjang tahun ini. Pertama sekali ialah zuriat, syukur akhirnya saya diberi rezeki untuk bergelar ibu.
“Kemudian saya turut berpuas hati dengan pencapaian menerusi Anugerah Planet Muzik apabila saya berjaya merangkul anugerah Kolaborasi Terbaik dengan Judika.
“Dalam bidang perniagaan juga tidak menghampakan apabila baru-baru ini saya menerima Anugerah Selebriti Pilihan Ramai menerusi Anugerah Penjual Shopee 2018.
“Selain itu, single saya sempena kemunculan semula selepas berehat lama mendapat sambutan hangat. Dengan semua rezeki terbaik yang hadir itu, dapat saya rumuskan bahawa kehidupan dan kerjaya saya tahun ini lengkap dan berjaya,” ujarnya yang muncul dengan lagu baharu, Anta Permana.
Meskipun dikelilingi rezeki dan kejayaan, Siti Nurhaliza tidak mahu berhenti di situ. Justeru, bagi terus mencipta kejayaan terutamanya dalam karier seni, penyanyi nombor satu negara itu sudah memasang azam dan menyusun jadual untuk 2019.
Menurut Siti, sebagai pembuka tirai tahun depan, sebuah konsert berskala besar bakal dihadiahkan kepada peminat yang sudah lama menantikan aksinya di pentas.
“Malah untuk memberi nuansa dan keterujaan khalayak kepada konsert tersebut, saya juga merancang untuk tampil dengan sebuah single baharu.
“Rezeki dan kejayaan tahun ini mencipta semangat luar biasa untuk saya menghasilkan sesuatu yang terbaik pada tahun hadapan. Sebagai pembukaan, saya akan realisasikan sebuah konsert kepada peminat.
“Buat masa ini saya tak boleh ceritakan dengan terperinci mengenai konsert tersebut kerana kami akan mengumumkannya pada majlis sidang media pada 17 Disember nanti.
“Kali terakhir saya terlibat dalam konsert ialah pada 2016 lalu menerusi Konsert Siti Nurhaliza & Friends. Bagi saya itu antara konsert yang paling besar dan gah pernah saya buat.
“Dan saya ingin mengulang kembali kejayaan konsert tersebut tetapi kali ini akan dilangsungkan di tiga buah negara. Saya sangat teruja dengan konsert itu walaupun saya masih perlu banyak berlatih vokal dan stamina,” jelasnya.
Kejayaan lagu baharunya, Anta Permana sememangnya membuatkan ramai peminat mengharapkan lagu tersebut bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bercerita perihal itu, Siti menjelaskan bahawa dia dan komposer, Hael Husaini dan Ezra Kong sudah pun berbincang mengenainya.
Jelas Siti, dia mahu memberikan sokongan penuh sekiranya Hael dan Ezra ingin bertanding namun dia meminta agar mereka memilih penyanyi lain untuk mempersembahkan lagu tersebut sekiranya layak ke AJL kelak.
“Buat masa ini belum ada kata putus mengenainya. Kami hanya berbincang memandangkan Hael dan Ezra ada bertanya boleh atau tidak lagu tersebut memasuki pertandingan.
“Saya sentiasa menyokong mereka kerana AJL adalah pertandingan untuk lagu. Tetapi saya mungkin tidak akan menyanyikannya dan mungkin mereka boleh pilih penyanyi lain yang mereka rasa layak.
“Setakat ini ramai yang menyanyikan semula lagu tersebut dengan baik tetapi secara peribadi saya sukakan nyanyian Ernie Zakri,” kata Siti yang ditemui pada majlis sidang media kempen SimplySiti Di Hati 2018, kelmarin.
Kempen amal melalui konsep ‘membeli sambil menderma’ ini akan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara bagi membantu tiga orang pesakit jantung iaitu Lam Zhe Yi, 10, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan T. Mahhaani, 7.
Sehingga kini, kempen SimplySiti Di Hati yang diperkenalkan pada 2011 ini telah berjaya membantu membiayai pembedahan 11 orang kanak-kanak pesakit jantung yang kurang berkemampuan.
Dalam keterujaan berkongsi cerita impian dan azamnya yang sudah tercapai, Siti akui masih ada satu perkara yang belum berjaya dilaksanakan.
Ujarnya, dia kini sangat menantikan buku fotobiografi yang akan dihasilkan oleh pengurusnya, Rozi Razak.
Menurut Siti, Rozi menyatakan hasrat untuk membukukan perjalanan hidupnya sepanjang bergelar anak seni dalam bentuk buku bergambar apabila usia kerjaya seni Siti genap 25 tahun.
“Kehadiran buku tersebut memang saya nanti-nantikan kerana merupakan sebuah buku yang menceritakan tentang perjalanan hidup saya. Yang menarik, buku ini mengandungi koleksi gambar-gambar saya yang akan memperjelaskan kejadian di sebaliknya.
“Ini adalah satu-satunya impian saya yang belum tertunai lagi kerana semuanya bergantung kepada Kak Rozi. Dia mahu saya tunggu sehingga usia kerjaya seni saya genap 25 tahun. Ini bermakna saya perlu tunggu dua tahun lagi.
“Mana tahu ketika itu Siti Aafiyah sudah mempunyai adik, jadi perlu dimasukkan juga ke dalam buku tersebut,” ujar Siti diselangi tawa.
Bercerita tentang Siti Aafiyah yang bakal berusia setahun pada Mac akan datang, Siti akui, dia sudah mula memikirkan perancangan untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahiran puteri ciliknya itu.
“Mulanya saya banyak berfikir di mana lokasi sambutannya, konsep dan tema yang sesuai. Namun apabila difikirkan kembali, saya sebenarnya mahu menyambutnya secara sederhana sahaja.
“Ini kerana, suami tidak mahu Aafiyah terlalu didedahkan kepada umum. Sebenarnya untuk memuat naik gambar Aafiyah dalam media sosial pun, saya perlu meminta izin suami dahulu.
“Semua gambar yang ada dalam laman Instagram saya adalah yang dibenarkan oleh suami,” jelasnya.










