SEREMBAN – Sebuah restoran di Jalan Quek Qai Dong di sini musnah 80 peratus akibat terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Hamlan Ishak berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari dapur gas di restoran berkenaan.
“Pemilik restoran percaya kebakaran disebabkan dapur gas terlupa dipadamkan sebelum premis itu ditutup. Bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam itu dan anggaran kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Hamlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.56 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Seremban 2 bersama dua buah jentera dikerahkan memadamkan kebakaran itu.
Menurutnya, api sedang marak semasa pasukan bomba tiba dan pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengawal kebakaran itu. – K! ONLINE











