KUALA LUMPUR 26 Nov. – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Batang Kali – Genting Highlands, Hulu Selangor dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa Muhammad Fitri Muhamad, 19, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badannya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC135 dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Batang Kali menuju ke Genting Premium Outlet (GPO).
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, mangsa dikatakan terbabas sendiri di satu selekoh tajam sebelum memasuki lorong bertentangan. Kejadian tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Bak Phai, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










