KUALA LUMPUR 15 Nov.- Seorang remaja perempuan ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras kira-kira 300 meter dalam kejadian di Sungai Congak, Hulu Langat dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2.30 petang ketika mangsa berusia 20 tahun itu sedang mandi bersama dua rakannya.
“Ketika sedang mandi, tiba-tiba mangsa dihanyutkan kepala air sejauh 300 meter dari lokasi kejadian manakala dua lagi rakannya berjaya diselamatkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai diingatkan agar berhati-hati ketika mandi di sungai terutama pada musim hujan bagi mengelak daripada sebarang kemungkinan.- UTUSAN ONLINE










