PONTIAN 15 Nov. – Seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki meliwat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ketika ibunya yang juga pengasuh kanak-kanak terbabit tiada di rumah dalam kejadian Taman Saujana di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, remaja berusia 13 tahun itu ditahan di rumahnya selepas ibu mangsa membuat laporan polis pukul 9.47 pagi sejurus mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya.
“Hasil siasatan awal mendapati remaja berkenaan mendedahkan telah meliwat mangsa di rumahnya semasa ibunya yang juga pengasuh kepada kanak-kanak tersebut tiada di rumah.
“Suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










