PARIS 29 Nov. – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, Paris Saint-Germain (PSG) cuba menjadikan Reds kelihatan seperti ‘penjual daging’ sewaktu skuad bimbingannya tumpas 1-2 dalam Liga Juara-Juara, hari ini.
Juan Bernat meletakkan PSG di depan pada minit ke-13, sebelum Neymar meledakkan gol kemenangan yang menjadikan kedudukan 2-0. Namun, sepakan penalti yang disempurnakan James Milner pada masa kecederaan babak pertama selepas Sadio Mane dikasari menghidupkan kembali harapan Liverpool.
Namun, Klopp secara terbuka menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap sikap keterlaluan PSG dan hakikat Marco Verratti sepatutnya dibuang padang ekoran terjahan keras ke atas Joe Gomez.
“Wujud sedikit halangan dengan ‘500,000 gangguan’ pada separuh masa kedua, dan pengadil pula tidak berbuat apa-apa. Di England, kami berada di kedudukan yang tinggi untuk permainan fair-play, tetapi malam ini (awal pagi waktu Malaysia) kami kelihatan seperti penjual daging.
“Saya menyaksikan kekasaran yang dilakukan Verratti, dan berapa banyak kad kuning telah dilayangkan? Verratti cukup jelas menerima layanan istimewa.
“Ada ketika kami berjaya mengawal permainan, dan mereka (PSG) pula gagal mengekalkan persembahan yang sama seperti babak pertama, jadi kami mencuba segala-galanya. Dengan satu atau dua keputusan yang berbeza, aksi perlawanan ini pasti lebih bagus,” kata Klopp.
Bagaimanapun, Klopp kekal positif biarpun Liverpool tumpas 1-2 dan dia mahu menjadikan aksi menentang Napoli di Anfield, bulan depan sebagai perlawanan akhir.
Pendahulu Kumpulan C, Napoli akan berkunjung ke Anfield pada 11 Disember dengan kelebihan tiga mata berbanding kelab England berkenaan, namun, seandainya Liverpool berjaya meraih kemenangan 1-0 atau mencatat jaringan lebih daripada dua gol, maka skuad bimbingan Klopp mampu melangkah ke saingan 16 terbaik.
“Kami harus memanfaatkan aksi di Anfield. Kami berharap perlawanan di laman sendiri mampu memberi kelebihan kepada pasukan dan kita lihat nanti. Kami harus mencipta suasana istimewa, tambahan pula Napoli adalah antara pasukan hebat,” tegas Klopp. – AGENSI










