KUALA LUMPUR 16 Nov. – Meskipun keputusan rasmi masih belum diumumkan, namun nampaknya calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sudah mengalah kepada pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam catatan blog, http://rafiziramli.com, bekas Ahli Parlimen Pandan itu meluahkan isi hati terhadap proses pemilihan parti kali ini yang disifatkan beliau banyak isunya.
Biarpun `mengalah’, tetapi Rafizi tetap mengungkit beberapa kontroversi yang menjadi punca seperti sistem e-pengundian, peristiwa penghadang isyarat (jammer), talian Celcom dipotong dan data dihapuskan di Julau serta aplikasi Prey di dalam peranti tablet yang digunakan untuk pengundian.
Rafizi juga menjadikan alasan kepentingan perjuangan parti mengatasi segala-galanya selain mengambil kira kesan kekalahan Mohamed Azmin akan lebih besar berbanding dirinya.
Beliau malah masih `mengungkit’ keberadaan Mohamed Azmin sebagai menteri kanan, penyandang jawatan dua penggal dan bekas menteri.
“Kekalahan beliau di tangan seorang penganggur akan dijadikan alasan untuk beliau berundur terus dari persada politik. Sebab itu saya menjangkakan penyokong-penyokong beliau lebih sukar menerima kekalahan berbanding saya.
“Saya juga telah melihat bagaimana penyokong kuatnya, Vernon Kedit bertalu-talu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai keanggotaan di Cabang Julau sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan,” kata Rafizi.
Rafizi bagaimanapun melaungkan keyakinan sekiranya pemilihan semula diadakan di Julau, besar kemungkinan beliau akan menang.
Walau bagaimanapun, beliau menzahirkan kebimbangan Vernon akan mengheret parti ke peringkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan mahkamah.
“Akhirnya kita tidak ubah seperti pepatah Melayu, ‘menang sorak, kampung tergadai’,” ujar beliau.
Dalam catatan itu juga, Rafizi mendakwa beliau hanya tewas dua peratus atau 2,500 daripada jumlah keseluruhan undi sekitar 141,000 ahli parti.
“Saya fikir Mohamed Azmin bakal diumumkan Timbalan Presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus berbanding dengan undi saya sekitar 49 peratus,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE










