SHAH ALAM 17 Nov. – PKR memberi bayangan bahawa Rafizi Ramli yang kini dianggap ‘anak emas’ baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan diangkat sebagai calon bagi menentang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.
Ini selepas Anwar sendiri yang akan mengambil alih tugas Presiden parti secara rasmi daripada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Kongres Nasional PKR 2018 esok, mengesahkan Rafizi antara nama yang diangkat.
Beliau memberi jawapan itu ketika ditanya pemberita, apakah Rafizi yang kini sudah mengangkat bendera putih kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan Timbalan Presiden PKR, merupakan calon yang layak untuk mewakili PKR di Rantau.
“Dia lebih daripada layak, (benar) ada nama Rafizi dibangkitkan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Wan Azizah di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Sebelum itu, Anwar memberitahu, PKR akan melakukan proses sebagaimana amalan biasa bagi menentukan calon DUN Rantau iaitu bermula daripada cadangan cabang, negeri dan biro politik, sebelum akhirnya diputuskan oleh beliau.
Semalam, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tidak sah dan terbatal.
Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang tanpa bertanding selepas calon PKR, Dr. S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April lalu kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, Rafizi ketika ditemui pula memberitahu adalah tidak adil untuk beliau dipilih menjadi calon PKR kerana Streram sudah meletakkan asas yang kukuh untuk bersaing di Rantau.
“Betul, saya berkempen di Negeri Sembilan tetapi saya melakukannya untuk Dr. Streram, beliau bekerja keras mengetuk hampir setiap rumah di Rantau untuk berkempen dan beliau perlu mendapat kredit, kerana beliau sendiri membawa hal ini ke mahkamah.
“Jika saya dibayar RM1 juta untuk bertanding sekalipun, saya tidak akan menerimanya kerana ia tidak adil kepada beliau (Streram),” katanya.










