Rafizi akur jika tewas, jadi anggota biasa PKR - Utusan Malaysia

Rafizi akur jika tewas, jadi anggota biasa PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli akur sekiranya beliau ditakdirkan kembali sebagai anggota biasa parti itu selepas keputusan untuk pemilihan Majlis Pimpinan Pusat diumumkan sebaik Kongres Nasional Keadilan melabuhkan tirainya nanti.

Mohd. Rafizi memberitahu, jika dirinya gagal mengatasi pesaing tunggalnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam merebut jawatan timbalan presiden parti itu, beliau tetap setia kepada perjuangan ‘Keadilan’ untuk rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya dimaklumkan, secara tidak rasmi beza undi di antara saya dan Saudara Azmin Ali ialah 2,500 undi, iaitu kurang 2 peratus daripada jumlah keseluruhan yang mengundi (sekitar 141,000 orang anggota parti).

“Saya fikir Saudara Azmin bakal diumumkan Timbalan Presiden dengan undi popular yang tidak melebihi 51 peratus, berbanding dengan undi saya sekitar 49 peratus,” katanya dalam catatan di blog rasminya malam ini.

Mohd. Rafizi berkata, walaupun jumlah undi itu dilihat berlatar belakangkan persoalan mengenai integriti dan ketelusan proses pemilihan yang turut dipersoalkan oleh semua calon yang bertanding, namun beliau telah membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik.

“Saya ada asas yang kukuh berhubung isu ini dan boleh berkeras supaya diadakan semula pemilihan, namun saya sedar bahawa kepentingan perjuangan parti mengatasi segala-galanya. Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah dalam pemilihan ini.

“Kita semua menang jika kita menginsafinya dan berazam untuk memperkukuhkan idealisme reformasi lantas kembali berkhidmat kepada rakyat.

“Kita semua kalah jika yang memegang amanah itu hanya melihat jawatan dipegang sebagai loncatan untuk mencari laba mengikut puak masing-masing, sehingga bercanggah dengan teladan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN