WASHINGTON 17 Nov. – Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) percaya Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman telah mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul, lapor Washington Post.
Penilaian agensi itu adalah bertentangan daripada rumusan yang dibuat pihak pendakwa raya Arab Saudi kelmarin yang menyatakan bahawa Putera Mohammed tidak terlibat dalam pembunuhan berkenaan.
Menurut CIA, seramai 15 ejen Arab Saudi menggunakan pesawat kerajaan ke Istanbul dan membunuh mangsa di pejabat konsulat Arab Saudi, lapor akhbar itu.
Hasil siasatan agensi berkenaan meletakkan Presiden Donald Trump dalam keadaan sukar untuk mengekalkan hubungan baik dengan rakan sekutunya, Arab Saudi.
Menurut sumber, CIA telah memberi taklimat tentang hasil siasatan itu kepada kerajaan negara ini termasuk Kongres.
Walau bagaimanapun White House dan Jabatan Negara AS enggan memberi sebarang ulasan.
Menurut jurucakap Kedutaan Arab Saudi di Washington melalui satu kenyataan, dakwaan berdasarkan penilaian berkenaan adalah palsu.
“Kami telah dan secara berterusan mendengar pelbagai teori tanpa menerima sebarang asas yang kukuh berkaitan spekulasi itu,’’ katanya.
Trump dan para pegawai pentadbirannya telah memberitahu Arab Saudi bahawa negara perlu bertanggungjawab terhadap penglibatannya dalam kes pembunuhan Jamal tetapi pada masa yang sama turut menekankan pentingnya hubungan antara kedua-dua negara.
Washington Post turut melaporkan bahawa penilaian CIA itu adalah berdasarkan panggilan telefon antara adik Putera Mohammed, Putera Khaled Salman yang juga duta Arab Saudi di AS dengan Jamal.
Putera Khaled memberitahu mangsa bahawa beliau perlu ke pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki untuk mendapatkan dokumen dan memberi jaminan mangsa akan dilindungi.
Semalam, melalui Twitter, Putera Khaled memberitahu bahawa kali terakhir beliau berhubung dengan Jamal ialah melalui penghantaran mesej pada 26 Oktober tahun lalu, hampir setahun sebelum kematian wartawan itu.
“Saya tidak pernah bercakap dengannya melalui telefon dan sudah tentu tidak pernah mencadangkannya untuk pergi Turki atas apa juga alasan. Saya meminta kerajaan AS untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung dakwaan ini,’’ katanya.
Akhbar berkenaan turut melaporkan, CIA turut menganalisis satu panggilan telefon dari pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul selepas pembunuhan Jamal.
Panggilan itu dibuat oleh pegawai keselamatan, Maher Mutreb kepada Saud al-Qahtani, pembantu kanan Putera Mohammed untuk memaklumkan bahawa operasi itu telah selesai. – AFP










