IPOH 15 Nov. – Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak membebankan peminjam daripada golongan berpendapatan rendah akan diumumkan pada bulan depan.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat terperinci berhubung peruntukkan yang diberikan dan dasar-dasar yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 sebelum merangka sebarang kaedah pelaksanaan.
Katanya, selain pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat itu, pihaknya juga akan mengadakan sesi pertemuan dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas.
“Dalam ucapan Belanjawan 2019 telah pun diumumkan beberapa langkah yang berkait dengan PTPTN dan apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan itu perlu diberikan perincian.
“Ini termasuk apa yang dikatakan bayaran balik berdasarkan potongan gaji dan pelepasan cukai pendapatan bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), perinciannya perlu ada. Oleh itu, mekanisma ini yang akan diumumkan pada bulan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel forum integriti: Integriti dan Akauntabiliti Tonggak Kelestarian Pengurusan Berkualiti di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










