Proses ganti papan tanda tulisan Cina selesai - Utusan Malaysia

Proses ganti papan tanda tulisan Cina selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 28 Nov. – Proses menggantikan papan tanda jalan tulisan Cina kepada bahasa Melayu sepenuhnya seperti yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah selesai semalam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad berkata, kerja memasang 45 papan tanda baharu itu siap lebih awal berbanding tempoh ditetapkan iaitu pada penghujung bulan ini.

“Selain tempoh menggantikan siap lebih awal, kos pemasangan papan tanda baharu juga dijimatkan iaitu RM12,000 berbanding kos asal RM18,000.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjunjung kasih titah Sultan Selangor bagi menggantikan kesemua papan tanda tulisan Cina di daerah ini,” katanya pemberita di sini hari ini.

Pada 19 November lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan bahasa Melayu.

Titah itu disampaikan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, melalui surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan juga Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Dalam surat itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar kerja-kerja tersebut perlu diselesaikan sebelum 11 Disember ini, iaitu tarikh ulang tahun keputeraan baginda. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN