KUALA LUMPUR 29 Nov. – Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak akan mengambil alih atau mengatasi peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya akan saling melengkapi antara satu sama lain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, IPCMC juga tidak akan menjejaskan peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebagai badan pengawasan bebas yang fungsinya terikat dengan terma mencegah salah laku polis.
“Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 22 September lalu mengarahkan supaya IPCMC disegerakan memandangkan cadangan penubuhan IPCMC ini telah diadakan sejak 2005 oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sokong penubuhan badan pengawasan tersebut, namun pada masa yang sama kita bertegas agar jaminan hak dan kebajikan warga pasukan tidak diperjudikan serta kekal terpelihara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang anjuran penuntut Program Ijazah Sarjana Sosial Sains (Pengajian Kepolisan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, serta tiga ahli panel iaitu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Datuk A. Aziz A. Rahim; Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan/Undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri.
Tambah Mohamad Fuzi, meskipun IPCMC mempunyai kuasa yang dilihat seakan tidak ‘memberi muka’ kepada warga PDRM, ia tidak akan menggugat organisasi itu sekiranya warganya mengamalkan prinsip integriti dan memelihara profesionalisme dalam menjalankan tugas.
“Kita juga mendengar kerisauan dan keluhan diutarakan pegawai serta anggota hari ini dan kita akan ambil perhatian.
“Input yang kita dapati hari ini akan dijadikan garis panduan untuk jawatan kuasa yang dibentuk nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










