SUBANG JAYA 26 Nov. – Polis akan terus mengawal kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di sini sehingga keadaan betul-betul selamat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, penganut Hindu bagaimanapun boleh meneruskan upacara keagamaan mereka seperti biasa di kuil tersebut.
“Saya beri jaminan terhadap keselamatan penganut Hindu di kuil tersebut, kita akan terus berkawal.
“Keadaan sudah terkawal namun kita bersedia sekiranya ada berlaku perkara yang boleh mencetuskan kekecohan lagi, jadi anggota masih lagi berkawal di sini,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.
Terdahulu, sebanyak 18 kenderaan terbakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata kejadian itu tidak melibatkan isu perkauman sebaliknya berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










