KUALA LUMPUR 30 Nov. – Polis akan memantau mesyuarat pihak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sebuah hotel di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, di sini pada Ahad ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini pihaknya hanya mendapat maklumat perhimpunan itu untuk ahli Perkasa sahaja.
“Bagaimanapun, kami akan memantau dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat perkara yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, terdapat satu poster yang memaklumkan mengenai perhimpunan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Raja Alang, di sini pada Ahad ini. – UTUSAN ONLINE










