Polis Marin rampas lebih RM447 juta - Utusan Malaysia

Polis Marin rampas lebih RM447 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA 16 Nov. – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menyelesaikan 17,700 kes melibatkan nilai rampasan lebih RM477 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2014 sehingga Oktober 2018.

Pengarah Keselamatan Da­lam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keberhasilan itu terjadi meskipun PPM dalam keadaan memerlukan penambahan keanggotaan serta aset keselamatan.

“Kami percaya sekiranya PPM diperkasakan, diperkukuh­kan maka, gerak kerja akan le­bih berkesan, mantap bagi memastikan perairan dan kawasan termasuk di Sabah terkawal dan sebarang elemen jenayah dapat dita­ngani,” katanya.

Beliau berkata de­mikian ketika di­temui pemberita di sini hari ini, sempena lawatan kerja rasmi dua harinya ke Sabah sejak semalam.

Dalam pada itu, Acryl Sani membe­ritahu, penambahan kelengkapan aset seperti bot termasuk kelengkapan alat pengesan antara aspek keselamatan yang perlu diperkasakan dalam PPM bagi memantapkan keberkesanan anggota membanteras aktiviti jenayah.

“Ancaman sekarang ini, jika dilihat mereka (penjenayah) juga menggunakan aset (senjata) dan sebab itu kita (PPM) juga perlu dua atau tiga langkah lebih ke hadapan daripa­da mereka (penjenayah) supaya cu­baan jenayah ini da­pat dipatahkan,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yussof Mamat menjelaskan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan keberhasilan tangkapan tertinggi di seluruh negara bagi tempoh tahun 2014 hingga Oktober 2018 yang melibatkan 6,591 kes dengan nilai rampasan RM84,919,709.

“Bagi tempoh 10 bulan tahun ini sahaja, sebanyak 1,216 kes tangkapan direkodkan di Sabah dengan nilai rampasan RM16,177,419,” katanya.

Menurutnya, tangkapan kes tertinggi melibatkan Akta Perhutanan, Akta Perikanan dan Akta Imigresen dengan masing-masing 596 kes, 202 kes serta 149 kes.

Terdahulu, Mohd. Yussof menyaksikan majlis serah teri­ma tugas Komander PPM Wilayah 4 Sabah baharu ACP Mohd Pajeri Ali yang menggantikan Supt Abd Nasir Othman. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN