Polis Kedah nafi insiden pergaduhan kaum di Gurun, Kuala Ketil - Utusan Malaysia

Polis Kedah nafi insiden pergaduhan kaum di Gurun, Kuala Ketil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Nov. – Polis Kedah menafikan sebarang insiden pergaduhan antara orang Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil seperti ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Abd. Rahim Jaafar, pihaknya turut mengesan terdapat mesej daripada pihak-pihak tertentu yang menggesa orang ramai untuk menyimpan senjata sebagai persiapan untuk melakukan rusuhan antara kaum.

“Adalah dimaklumkan, penyebaran gambar dan mesej berkenaan wujudkan ketegangan kaum ini adalah tidak benar sama sekali. Ingin ditegaskan, tiada sebarang kejadian pergaduhan antara kaum yang berlaku di dalam daerah Kuala Muda. 

“Keadaan di Gurun dan Kuala Muda adalah selamat, aman dan sejahtera. Penyebaran berita palsu ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sama sekali perbuatan menyebarkan berita atau maklumat palsu di media sosial kerana ia boleh mencetuskan sentimen perkauman dan menggugat keselamatan serta keamanan. 

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam di negeri ini. 

“Mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.-UTUSAN ONLIONE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN