Polis berkas 60 individu terlibat judi online di ibu negara sejak Oktober lalu - Utusan Malaysia

Polis berkas 60 individu terlibat judi online di ibu negara sejak Oktober lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas seramai 60 individu dalam 10 serbuan melibatkan operasi judi online dari Oktober lalu hingga Ahad lalu di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kebanyakan serbuan dibuat di pusat snuker dengan menawarkan judi online kepada pelanggan tetapnya.

“Mereka akan memberikan komputer riba atau tablet kepada pelanggan yang mahu bermain judi online.

“Transaksi pula akan dilakukan dalam bentuk kredit kepada akaun yang diberikan oleh pengurus pusat snuker tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kesemua tangkapan terdiri daripada 38 individu warga asing dan 20 warga tempatan.

Mazlan menambah, wang kemenangan juga akan diberikan pada waktu sama mereka bermain judi online tersebut.

“Dalam semua serbuan itu, sebanyak 42 unit tablet, 46 komputer riba, 78 telefon bimbit, 12 modem dan empat router dirampas.

“Polis juga merampas wang tunai bernilai RM4,116,” ujarnya.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN