KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataan kontroversinya mengenai pencabulan hak asasi manusia di Malaysia yang tular dalam bentuk klip video baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihak polis akan memanggil beliau bagi merakamkan keterangan berhubung dakwaannya itu.
“Kita mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kandungan klip video itu walaupun itu video lama,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Asri Yusoff kepada Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Datuk Abd. Jalil Hassan yang akan memangku jawatan tersebut di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini semalam.










