KUALA LUMPUR 28 Nov. – Perdana Menteri mengesahkan beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai mana-mana pihak atau individu yang telah membida kapal layar mewah, Equanimity.
Dalam nada berseloroh, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau berhasrat ingin membeli dan memiliki kapal layar yang kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi itu, tetapi tidak berkemampuan.
“Saya tak dapat maklumat lagi, saya nak beli tapi tak cukup duit,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.
Hari ini merupakan hari terakhir tempoh lelongan Equanimity.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, beliau sudah lama mengetahui pembabitan syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs dalam urus niaga yang mengakibatkan kerugian terhadap 1MDB.
Kata beliau, tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS mengemukakan tuntutan jenayah terhadap eksekutif Ex-Goldman Sachs, Tim Leissner dan Pengarah Urusannya, Ng Chong Hwa, 51, atau dikenali sebagai Roger Ng serta Low Taek Jho yang terbabit kes rasuah dan pengubah wang haram berkaitan 1MDB, mengesahkan perkara itu.
“Kita memang tahu perkara ini sudah lama namun dia (Tim Leissner) mengaku bahawa yang kita kata dia salah, dia mengaku dia benar walaupun sebenarnya dia salah,” katanya. – UTUSAN ONLINE.










