PUTRAJAYA 19 Nov.- Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mengadakan lawatan rasmi yang pertamanya ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan dua hari yang bermula esok itu merupakan atas jemputan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam lawatan tersebut, Imran Khan dijadualkan menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan beliau juga akan mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Majlis sambutan rasmi akan berlangsung pada sebelah pagi Rabu di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra dan kemudian diteruskan dengan mesyuarat dua hala untuk memberi peluang kepada setiap negara menilai prestasi semasa hubungan dua hala dan mengenal pasti ruang kerjasama lain yang boleh diterokai untuk manfaat bersama.
“Selepas mesyuarat berlangsung, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Bersama Penghapusan Visa (Separa) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Pakistan yang akan diadakan di Pejabat Perdana Menteri,” kata kenyataan itu di sini hari ini.










