PM bentang usul tergempar di Parlimen esok - Utusan Malaysia

PM bentang usul tergempar di Parlimen esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan membentangkan usul tergempar di Parlimen esok susulan insiden kekecohan dan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya Isnin lalu.

Katanya, beliau hanya dapat mengeluarkan kenyataan akhbar disebabkan beliau tidak dibenarkan ke lokasi kejadian.

“Saya beritahu yang saya mahu pergi ke situ (kuil), tetapi mereka (pihak keselamatan) tidak membenarkan saya berbuat demikian.

“Jadi saya buat dan keluarkan kenyataan akhbar sahaja. Esok saya akan buat kenyataan (usul tergempar) pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara (IJN) di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permohonan pihak Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman yang meminta dirinya untuk campur tangan dalam isu tersebut.

Terdahulu, Mahathir sempat meluangkan masa hampir sejam melawat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang menjadi mangsa rusuhan di kuil tersebut tempoh hari.

Muhammad Adib yang duduk di bahagian penumpang hadapan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dipercayai ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Difahamkan, mangsa dikatakan mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu.

Dalam pada itu, Mahathir menyifatkan serangan terhadap anggota bomba oleh perusuh dalam insiden tersebut sebagai mempunyai niat dan cubaan untuk membunuh dan pelakunya seakan-akan tiada perasaan.

“Melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh.

“Kita boleh adakan demonstrasi, tetapi ia perlu berlangsung dengan aman. Apa yang berlaku ini bukan demonstrasi, ia satu tindakan untuk membunuh bila mereka datang dengan senjata seperti parang dan sebagainya,” ujarnya.

Mahathir turut mengesahkan kerajaan Selangor sebelum itu telah memutuskan untuk mengekalkan lokasi kuil berkenaan namun pemaju berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya kuil itu dipindahkan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN