KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pertubuhan Kebajikan Wilayahku Ceria (PKWC) dan Skuad Lembah Pantai Di Hatiku menganjurkan Program Suntikan Semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Lembah Pantai di KL Gateway Mall, di sini Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PKWC, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada Program Salam Restu yang dianjurkan oleh tujuh buah sekolah di Parlimen Lembah Pantai bermula 8 November lalu.
“Dalam program ini, PKWC menampilkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan seorang selebriti, Fitri Haris sebagai motivator.
“Selain itu, Fahmi Fadzil turut bermurah hati menyumbangkan alat tulis kepada semua 968 calon SPM di setiap sekolah yang terlibat,” katanya.
Tambah Mohamad Sazali, para peserta juga turut diberi taklimat dan penerangan mengenai peluang-peluang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya oleh pihak University of Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed).
Yang turut hadir, Datuk Yang Kian Joo, mewakili KL Gateway Mall. – UTUSAN ONLINE










