JOHOR BAHRU 30 Nov. – Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM191 juta bagi membangunkan kawasan perindustrian seluas 110.4 hektar di Pengerang Industrial Park (PIP), Pengerang seperti yang dibentangkanMenteri Besar, Datuk Osman Sapian pada Belanjawan Johor 2019 semalam.
Ketua Eksekutifnya, Mohd. Yazid Ja’afar berkata, PIP adalah antara beberapa kawasan perindustrian baharu yang sedang dibangunkan di Projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).
“JPDC merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana terus memberi sokongan terhadap pembangunan PIPC.
“PIP yang dibangunkan oleh Johor Corporation akan membolehkan syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti sokongan atau berasaskan industri hiliran minyak dan gas membangunkan operasi dan loji berhampiran dengan dua projek utama di PIPC, iaitu Pengerang Deepwater Terminals dan Kompleks Bersepadu Pengerang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohd. Yazid berkata, pihaknya turut menghargai keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Pengerang, khususnya penduduk tempatan yang berada dalam lingkungan kawasan PIPC.
“Kami berterima kasih atas keputusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk meneruskan pembangunan sebuah masjid baharu di Taman Bayu Damai, Pengerang dengan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri
“Masjid baharu tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 800 keluarga Islam yang kini bermastautin dalam tujuh kawasan perkampungan di Taman Bayu Damai,” katanya. – UTUSAN ONLINE










