Pindaan laporan audit 1MDB mengecewakan – KJ - Utusan Malaysia

Pindaan laporan audit 1MDB mengecewakan – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jemaah menteri kerajaan terdahulu tidak pernah dimaklumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“(Najib) tak pernah maklumkan (mengenai Jho Low) kepada jemaah menteri, banyak perkara tentang 1MDB tidak dimaklum kepada jemaah menteri,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara berkenaan di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dalam kenyataan sebelum ini berkata, beberapa perkara penting digugurkan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk berhubung kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Dalam kenyataan itu, Madinah mendedahkan bahawa laporan berkenaan telah diubah, antaranya atas arahan Najib dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh.

“Laporan Ketua Audit Negara mestilah bebas dan berkecuali serta tidak boleh diarah untuk dipinda dan sebagainya. Kalau benar berlaku arahan memadam (kehadiran Jho Low), ini tindakan serius dan mengecewakan,” kata Khairy Jamaluddin – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN