Pikul tanggungjawab berat - Utusan Malaysia

Pikul tanggungjawab berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran lagu Pematah Hati memberi kejayaan dan rezeki yang bukan sedikit kepada pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali ini.

Meskipun pernah muncul dengan dua single sebelum ini, namun lagu yang catchy dan gimik video muzik yang mencetuskan kontroversi itulah yang berjaya menaikkan namanya dalam persada seni muzik tempatan.

Sejak itu rezeki Nabila Razali boleh dikatakan tidak putus-putus. Bukan sahaja dalam pasaran muzik, malah rezeki lain turut menyebelahinya dan terkini, dia berjaya menarik perhatian badan pelancongan Macao Tourism Malaysia.

Diberi tawaran untuk menjadi jurucakap kepada badan pelancongan tersebut, Nabila mengakui, satu peluang yang tidak sepatutnya dia lepaskan. Walaupun tanggungjawab yang diamanahkan bukan mudah, Nabila menyahut cabaran, sekali gus membuktikan dia mampu melakukan sesuatu di luar bidang muzik.

“Sudah pasti saya rasa sangat bangga kerana terpilih antara ramai artis Malaysia. Saya tahu bukan mudah untuk mereka membuat pilihan jadi apabila diberikan tanggungjawab yang berat itu, saya pikul sebaik mungkin.

“Sebagai jurucakap untuk Macao Tourism Malaysia, saya diberi tanggungjawab untuk menghebahkan kepada masyarakat terutama orang Islam bahawa Macau merupakan destinasi percutian yang mesra Muslim.

“Ternyata peluang ini memberikan saya satu pengalaman yang berbeza. Jika sebelum ini saya banyak bertanya tentang ilmu seni dan muzik, kini saya tambahkan lagi pengetahuan saya dengan ilmu pengembaraan di negara orang,” jelasnya.

Bercerita mengenai pengalaman meneroka destinasi menarik di Macau, gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini berkongsi kenangan melakukan terjun lelabah (bungee jumping) tertinggi di dunia iaitu setinggi 233 meter di Menara Macau.

Jelas Nabila, walaupun pada awalnya dia agak takut untuk melakukan terjunan, namun peluang yang ada di depan mata pasti rugi jika ditolak. Tambahnya, keputusan untuk melakukan terjunan itu tidak salah kerana menjadi pengalaman paling berharga buat dirinya.

“Aktiviti yang paling menarik sepanjang lawatan saya ke Macau ialah melakukan terjun lelabah. Ini merupakan pengalaman pertama saya melakukannya dan menjadi kenangan yang tidak mungkin saya lupakan.

“Mula-mula ada rasa takut tetapi saya cekalkan hati kerana sukan ekstrem adalah salah satu kegemaran saya. Apatah lagi saya datang dari jauh jadi saya beranikan diri untuk menyahut cabaran tersebut,” ujarnya.

Bonus dalam kerjaya

Selain ditawarkan sebagai jurucakap Macao Tourism Malaysia, Nabila turut mendapat perhatian dari sebuah syarikat pelancongan yang dilantik oleh Kansai Tourism.

Memikul tanggungjawab yang sama, Nabila menjelaskan bahawa mereka akan bekerjasama pada tahun hadapan.

Menerima dua tawaran untuk tugasan tersebut, Nabila mengakui, dia bersedia sekiranya diberi peluang untuk bergelar pengacara rancangan travelog.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang suka menyahut cabaran dan tidak takut mengambil risiko, Nabila yakin dia mampu melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Kalau ada tawaran untuk saya mengacara rancangan travelog, tidak mungkin saya akan tolak.

“Itu adalah satu bonus kepada karier saya. Sebagai anak seni, tidak salah untuk mencuba banyak perkara kerana itu memberikan ilmu dan pengalaman yang berbeza.

“Saya bersedia menjadi pengacara bukan kerana tamak, tetapi saya mahu jadikan sebagai bukti bahawa saya mampu keluar dari zon selesa.

“Tambahan pula saya seorang yang suka sahut cabaran dan tidak takut mengambil risiko, jadi melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan amat saya nanti-nantikan,” jelas Nabila yang turut merancang untuk terlibat dalam perniagaan fesyen.

Tiada masa untuk cinta

Mengintai kisah peribadi bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 (AF2013) ini, dia mengakui, hatinya belum dimiliki. Jelas Nabila, tumpuan terhadap soal kerjaya menjadi salah satu penyebab untuknya kekal dengan status solo.

“Saya tidak tahu bila saya ada masa untuk keluar berpacaran. Sekarang ini saya hanya ada waktu untuk diluangkan dengan keluarga sahaja. Bila ada cuti, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan mereka.

“Ini kerana saya sangat fokus dengan kerja. Saya perlu memberikan yang terbaik kerana saingan daripada bakat baharu sangat sengit. Jadi saya tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.

“Lagipun saya tidak pernah meletakkan karier saya dalam dunia yang selesa. Saya sentiasa fikir untuk terus memperbaiki kelemahan diri agar saya mampu berdepan saingan hebat dalam industri.

“Bagaimanapun saya tidak menolak andai jodoh saya mendekat dan saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya mohon kepada semua peminat agar sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kerjaya dan kehidupan saya,” akhiri Nabila yang baru selesai merakam lagu baharunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN