Pihak pembelaan Rizal Mansor mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Pihak pembelaan Rizal Mansor mohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan kes bekas pegawai khas, Datuk Rizal Mansor yang didakwa atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM218 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar, akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Tinggi. 

Perkara itu dimaklumkan peguam Ridha Abdah Subri dalam sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

“Pihak kami memerlukan masa selama 10 hari untuk memfailkan notis usul dan afidavit dan pihak pendakwaan tidak membuat bantahan berhubung permohonan ini,” kata Ridha Abdah.

Dalam pada itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihaknya tidak membantah untuk kes itu dipindahkan mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Ahmad Akram pada masa sama pihak pendakwaan juga akan mengemukakan permohonan untuk kes berkenaan dibicarakan bersama dengan Rosmah membabitkan projek yang sama.

Berikutan itu Rozina memberikan tempoh masa seminggu untuk pihak pembelaan memfailkan permohonan itu menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes termasuk status permohonan itu.

Pada 15 November lalu Rizal, 44, yang juga bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan itu tersebut. 

Mengikut peruduhan pertama, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi pihak Rosmah suapan masing-masing RM187.5 juta yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan.

Cadangan itu membantu Jepak Holdings Sdn. Bhd. mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaran dan Operasib Ganset/Diesel bagi 369 buah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan wang berjumlah RM25 juta daripada individu sama sebagai dorongan untuk melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu syarikat sama bagi mendapatkan projek sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh didakwa menerima untuk dirinya sendiri dan Rosmah wang berjumlah RM5.5 juta sebagai dorongan membantu syarikat sama bagi perbuatan yang sama. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Sunway Putra Mall Jalan Putra Mall, Pavilion Jalan Bukit Bintang dan sebuah rumah di Laman Damai Sari , Bukit Segambut di sini antara bulan Mac hingga 23 Disember 2016.

Berikutan itu kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (akta 694) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN