IPOH 15 Nov. – Para penyokong berpeluang melihat Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak apabila trofi tersebut akan dipamerkan di ruang legar Pasar Raya Besar Mydin Meru di sini pada Sabtu dan Ahad ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abd. Aziz Yeop Jamaluddin berkata, pameran trofi tersebut akan bermula pada pukul 11 pagi hingga 6 petang.
Menurutnya, pameran tersebut bertujuan untuk meraikan kejayaan Perak memenangi piala tersebut buat kali kelapan bersama para penyokong.
“Kami amat berbangga kerana dapat membawa trofi ini untuk dipamerkan kepada peminat-peminat sukan bola sepak di negeri ini.
“Peminat boleh menatap dan bergambar di sisi trofi keagungan bola sepak negara yang berusia 95 tahun itu pada pameran tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abd. Aziz menambah, pameran itu juga bakal dihadiri pemain pasukan The Boss Gaurus yang akan bertemu dengan para penyokong.
Katanya, pameran ini juga merupakan satu penghormatan dan menunjukkan sukan bola sepak telah berjaya menembusi sempadan sosial dan budaya kerana peminat sukan itu datang dari pelbagai latar belakang.
“Kita harap pameran ini juga akan beri suntikan kepada peminat untuk terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan negeri pada musim baharu akan datang,” katanya.
Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober lalu.
Perak mengatasi Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah kedudukan terikat 3-3 selepas masa tambahan. – UTUSAN ONLINE










