IPOH – Piala Malaysia yang dijulang pasukan Perak pada hujung Oktober lalu akan dipamerkan kepada orang ramai di ruang legar Pasaraya Besar Mydin Meru di sini pada Sabtu dan Ahad ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Abd. Aziz Yeop Jamaluddin berkata, para penyokong Perak dan orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat dan bergambar dengan trofi yang menjadi simbol ikonik bola sepak negara itu bermula 11 pagi hingga 6 petang pada dua hari tersebut.
“Pafa amat berbesar hati untuk mempamerkan piala berprestij itu kepada orang ramai selepas ia dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kuala Kangsar Ahad lalu.
“Para peminat bola sepak boleh menatap dan bergambar di sisi trofi berkenaan berusia 95 tahun yang menjadi rebutan seluruh pasukan bola sepak di tanah air tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini sebentar tadi.
Menurut Abd. Azizi, pameran tersebut juga akan dihadiri para pemain The Bos Gaurus yang telah berusaha keras membawa pulang piala tersebut ke Perak buat kali kelapan pada pukul 11 pagi Sabtu ini.
“Pameran ini juga merupakan satu penghormatan dan sekaligus menunjukkan sukan bola sepak telah berjaya menembusi sempadan sosial dan budaya kerana saya yakin peminat sukan ini datang dari pelbagai latar belakang.
“Kita harap pameran ini juga akan beri suntikan kepada peminat untuk terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan negeri pada musim baharu akan datang,” katanya lagi.
Pasukan bola sepak Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu Football Club 1 di Stadium Shah Alam, Selangor 27 Oktober lalu.
Perak mengatasi Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 setelah tamat masa tambahan. – K! ONLINE










