PH tidak abai Pantai Timur – Wan Azizah - Utusan Malaysia

PH tidak abai Pantai Timur – Wan Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengabaikan negeri-negeri Pantai Timur dalam Belanjawan 2019 biarpun diperintah oleh pembangkang, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, tidak perlu mana-mana pihak membuat andai­an terhadap belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lalu.

Menurutnya, pembangunan di ketiga-tiga negeri tersebut berjalan dengan baik berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Saya baru diberi taklimat oleh ECER, memang bagus saya kira Menteri Besar Kelantan, Terengganu dan Pahang me­nunjukkan tahap yang lebih baik, tidak ada apa-apa untuk abaikan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan menghadapi banjir di negeri-negeri Pantai Timur di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Kelmarin Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pemben­ta­ngan Belanjawan 2019 tidak seimbang dari segi pembangunan terutama membabitkan ne­geri-negeri di wilayah Pantai Timur.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, hal demikian ini kerana hampir tidak ada satu pengumuman dibuat menyentuh agenda besar di negeri-negeri Pantai Timur.

Ketika diminta mengulas mengenai bantuan musim tengkujuh terhadap penduduk yang tidak terjejas banjir di Pantai Timur, Wan Azizah berkata, perkara tersebut sedang dikaji kerana pada masa kini tum­puan diberikan terhadap masalah bencana alam terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN