PASIR PUTEH 16 Nov. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang untuk meneruskan pembinaan sebuah kolej kejuruteraan maritim di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang tertangguh pembinaannya di Tok Bali dekat sini sejak tahun 2008.
Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pembinaan itu perlu diberi keutamaan untuk membuka ruang pelajar sekali gus menyediakan tenaga mahir dalam industri perikanan dan perkapalan yang ada di kawasan itu.
“Usaha melahirkan tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan maritim akan membolehkan lebih 300 bot laut dalam dan kapal agensi kerajaan mendapat perkhidmatan selenggara dan sebagainya.
“Setakat ini, sebahagian besar bot nelayan terpaksa ke Narathiwat, Selatan Thailand untuk dibaik pulih setiap enam bulan sekali kerana kemudahan yang ada di Tok Bali tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pak Amat, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Abd. Pattah Abdullah yang meminta kerajaan pusat membina kolej berkenaan selaras dengan pembangunan industri semasa di Tok Bali.
Kamaruddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pasir Puteh berkata, beliau akan menemui Pengerusi Mara, Dr. Hasnita Hashim dalam tempoh terdekat bagi mepercepatkankan urusan pembinaan kolej berkenaan.
Menurutnya, pada tahun 2007 kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina kolej itu tetapi ditangguhkan selepas BN gagal menawan Kelantan.
“Peruntukan itu tidak termasuk pengambilan balik tanah seluas lebih 30 hektar yang terletak di kawasan yang berpotensi iaitu berhampiran dengan pelabuhan LKIM, Tok Bali,” katanya.
Menurut Kamaruddin, mengikut perancangan awal pegambilan pelajar pertama dijangka membabitkan seramai 100 orang dan akan terus bertambah sehingga 1,000 pelajar pada tahun-tahun berikutnya. – UTUSAN ONLINE










