Petisyen PRU-14 Tasek Gelugor dibicara - Utusan Malaysia

Petisyen PRU-14 Tasek Gelugor dibicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Nov. – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk pendengaran.

Petisyen itu difailkan oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya selepas penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya menang dengan majoriti 81 undi.

Keputusan majoriti 4-1 itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum selepas membenarkan ra­yuan Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar.

Selain Malanjum; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Rohana Yusof membenarkan rayuan itu manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop mencapai keputusan menentang.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa dakwaan yang dibangkitkan dalam petisyen itu berkaitan percanggahan di antara Borang 14 dengan jumlah undi yang dipaparkan di pusat penjumlahan undi, mempunyai merit untuk diputuskan.

Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa petisyen tersebut mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan dan perlu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Pada 18 September lalu, Hakim Datuk Hashim Hamzah membatalkan petisyen Marzuki selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Shabudin.

Marzuki menamakan Shabudin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri bagi Bahagian Pilihan Raya P042 Tasek Gelugor responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Beliau memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Tasek Gelugor diadakan selain memohon pengiraan semula undi atas alasan calon berhak meminta kiraan semula jika keputusan itu mencatatkan perbezaan kurang daripada empat peratus seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Marzuki diwakili oleh barisan peguam bela diketuai oleh Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Sathya Kumar Das mewakili SPR.

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN