TURKI merupakan sebuah negara yang terletak di sempadan benua Asia dan Eropah. Kepelbagaian budaya dan warisan menjadikan negara itu sebagai salah sebuah destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Antara pelancong asing yang banyak melancong ke Turki adalah dari Malaysia. Terdapat banyak agensi kembara menawarkan pelbagai pakej percutian menarik namun, perlu berhati-hati kerana tidak semua yang dijanjikan di dalam brosur pelancongan ditunaikan.
Sehubungan itu, memilih agensi yang jujur adalah langkah pertama yang harus difikirkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menjejakkan kaki ke Turki.
Jika anda masih mencari-cari agensi yang mampu menguruskan percutian ke Turki, apa kata singgah ke pejabat Juara Travel untuk mendapatkan maklumat terkini dan pakej pelancongan yang berbaloi dengan yuran yang dikenakan.
Menurut Eksekutif Kanan Juara Travel, Aziani Thani, walaupun perjalanan sedikit memenatkan kerana jarak tempat dilawati mengambil masa lebih daripada sejam, namun pakej yang ditawarkan pasti memberi kepuasan kepada pelanggan.
“Harga pakej serendah RM4,648, meliputi tiket pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Istanbul (kelas ekonomi) dengan menaiki pesawat Oman Air, penginapan hotel termasuk sarapan, tiket lawatan ke setiap destinasi, pengangkutan, makanan, insurans perjalanan individu Gold Plan dan cukai lapangan terbang.
“Dalam pakej ini, pelanggan tidak tinggal di sebuah hotel yang sama, malah kita akan menginap di beberapa lokasi yang dikunjungi.
“Sepanjang perjalanan pelancong akan dibawa menaiki bas yang turut dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar (wifi),” katanya kepada S2.
Tambahnya, pakej pelancongan ke Turki terbuka sepanjang tahun, meliputi empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.
“Musim bunga berlangsung pada bulan Mac hingga pertengahan Jun, musim panas (pertengahan Jun hingga Ogos), musim luruh (pertengahan September hingga November) dan musim sejuk (Disember hingga Februari).
“Selalunya permintaan untuk pakej ke Turki banyak diterima ketika cuti persekolahan,” katanya.
Berikut adalah destinasi terkenal di Turki yang tersenarai dalam pakej percutian sembilan hari tujuh malam yang ditawarkan oleh Juara Travel.
ISTANBUL
Istanbul merupakan pusat pelancongan yang menjadi tumpuan ramai pengunjung.
Antara tempat-tempat lawatan ialah seperti Leather Outlet Centre, Blue Mosque, Topkapi Palace, Muzium Hagia Sophia, Masjid Sultan Sulaiman dan Spice Bazaar.
Aktiviti di Istanbul tidak lengkap jika tidak menaiki cruise menyusuri Selat Bosphorus yang menjadi sempadan Asia dan Eropah. Sepanjang menaiki kapal, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan bangunan yang tersergam indah.
Di atas kapal juga, pelancong berpeluang melakukan aktiviti memberi makan kepada burung yang berterbangan. Keistimewaan mengikuti percutian bersama Juara Travel adalah pengunjung menaiki kapal secara eksklusif tanpa perlu berkongsi dengan rombongan lain.
Program perjalanan turut melibatkan aktiviti membeli-belah di Grand Bazaar yang merupakan sebuah pasar paling besar dan tertua di dunia yang menempatkan lebih 3,000 buah kedai pelbagai jenis kraf dan perhiasan serta tekstil menarik.
BURSA
Bursa merupakan antara destinasi pelancongan yang banyak menyimpan peninggalan sejarah Islam.
Antara lokasi tumpuan pelancong termasuklah masjid tertua iaitu Ulu Cami (Great Mosque). Uniknya masjid terbesar di Bursa ini mempunyai 20 kubah yang dibina pada 1396 oleh Sultan Beyazit 1 selepas kejayaannya menakluki Macedonia.
Di Bursa juga terdapat Green Mosque yang merupakan Tapak Warisan Dunia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Masjid ini memaparkan keindahan kaligrafi Islam. Bersebelahan bangunan itu adalah Green Mausoleum iaitu makam Mehmet 1 yang memaparkan keunikan seni berwarna warni.
Silk Market yang terkenal sebagai pusat perdagangan kain sutera turut menjadi persinggahan pelancong untuk membeli-belah.
KUSADASI
Sebelum tiba di Pamukkale, Juara Travel akan membawa pelancong singgah menyelusuri kota kuno Ephesus yang menyimpan sejarah Yunani dan Rom purba.
Di sini, kita berpeluang menyaksikan kesan runtuhan bandar purba tersebut.
Ephesus turut tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang berprestij.
Perjalanan ke lokasi ini bergantung kepada masa yang ada memandangkan kita perlu tiba ke Pamukkale mengikut jadual yang ditetapkan.
PAMUKKALE
Bandar ini merupakan tempat popular yang turut tercatat sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia dibawah UNESCO.
Antara tempat menarik untuk dilawati ialah Hierapolis Ancient City Ruins yang merupakan kota suci dalam kesusasteraan Arkeologi kerana terdapat banyak kuil dan bangunan keagamaan.
Cotton Castle turut menjadi tumpuan kerana bentuknya yang seakan-akan kapas dan terdapat kolam air panas yang kelihatan seperti sungai yang dilitupi salji.
KONYA
Lokasi ini begitu sinonim sebagai pusat Islam tertua yang menjadi pusat pembelajaran dan pengajaran sufi.
Antara tempat menarik yang wajib dikunjungi adalah Melvana Museum yang merupakan tempat bersemayamnya sang pujangga Turki yang juga pencipta Tarian Sufi iaitu Jalaludin Rumi.
CAPPADOCIA
Cappadocia, antara tempat wajib dilawati di Turki. Pelancong bukan sahaja dapat merasai pengalaman menaiki belon udara panas, malah turut dapat menyaksikan keindahan dan keunikan batuan yang cantik dilihat dari atas.
Kelebihan memiliki ruang kawasan yang luas menjadikan Cappadocia antara destinasi belon udara popular di dunia.
Menurut Aziani, pelancong akan diberi peluang sama ada ingin merasai pengalaman menaiki belon udara panas atau menyaksikan keindahan sekelilingnya dari pandangan hotel.
“Bayaran tambahan dikenakan sebanyak AS$220 (RM917.29) bagi pelancong yang ingin menaiki belon udara panas,” katanya.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah melawat Goreme Open Air Museum, Kaymakli Underground City, Carpet factory, Pasabang Valley, Camel Valley, Avanos Village, Valley Birds, Uchisar dan Fairy Chimney.
ANKARA
Antara tempat yang akan dilawati di Ankara ialah Ataturk Mausoleum yang merupakan muzium dan tempat persemadian Mustafa Kemal Ataturk iaitu pemerintah yang menukarkan Turki daripada sebuah negara Islam kepada sekular.
Bangunan ini menempatkan barang-barang peninggalan Mustafa Kemal Ataturk di galeri pameran. Selain kenderaan beliau, pengunjung boleh menyaksikan sendiri senjata, surat, pakaian, dan jam tangan.
Sebelum bertolak ke Bolu, pelancong dibawa mengunjungi Tuz Golu yang terkenal sebagai tasik kedua terbesar di Turki dan merupakan tasik garam terbesar di dunia. Menariknya di sini, anda berpeluang melihat dan memijak permukaan pantai yang dipenuhi garam.
BOLU
Perjalanan seterusnya pelancong akan dibawa mengunjungi Masjid Sultan Eyub di mana terletaknya makam Abu Ayub Al Ansari, salah seorang sahabat Rasulullah SAW.
Masjid ini merupakan salah satu masjid tertua di Turki dan masjid pertama yang dibangun setelah kerajaan Islam di bawah pimpinan Muhammad al-Fatih menawan kota Konstantinopel pada 1453 atau kini dikenali sebagai Istanbul.
Untuk keterangan lebih lanjut sila hubungi
No telefon: 03-9226 7105
Emel: info@ juaratravel.com.my
Laman Web: www. juaratravel.com.my
Alamat: Juara Travel & Tours Sdn. Bhd.
No 1-2-1, Blok 1,
City Garden Commercial Centre,
Taman Nirwana, 68000, Ampang, Selangor.










