Lembah Bujang yang merupakan kompleks sejarah penting terletak di Merbok Kedah antara Gunung Jerai di Utara dan Sungai Muda di Selatan. Kawasan seluas 224 kilometer (km) persegi ini kaya dengan sumber arkeologi. Bahan sejarah yang dikatakan berusia 2535 tahun ini perlu dikaji segera dengan mendalam, didokumenkan dan dipamerkan untuk kepentingan sejarah dunia dan tamadun tempatan.
Banyak kajian telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Muzium Negara.
Hasil kajian tentang arkeologi ini telah menarik perhatian kerajaan dan ramai orang. Ahli arkeologi mencadangkan Lembah Bujang sebagai tapak Warisan Pertubunan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco).
Cadangan sejak 2013 ini telah merancakkan lagi kajian arkeologi sehingga sekarang. Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR), USM meneroka kawasan kompleks arkeologi Lembah Bujang bagi mendapatkan banyak fakta sejarah, budaya dan tamadun manusia. Sehingga tahun 2008 CGAR menjumpai banyak lagi tapak bersejarah baharu sekitarnya. Struktur-struktur hasil buatan manusia tertua mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Tapak sejarah di Sungai Batu, Merbok ini juga merupakan tinggalan sejarah lampau kerajaan Kedah Tua yang penting sejak kurun ke-7 hingga kurun ke-13 Masihi.
Gunung Jerai dengan ketinggian 1,217 meter (m)merupakan gunung tertinggi di utara Semenanjung.
Tanah tinggi itu juga adalah merupakan sempadan antara Daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah. Dengan suhu antara 19 hingga 24 darjah Celsius menjadikan ia antara destinasi percutian tanah tinggi unik dan mempesonakan. Kawasan Gunung Jerai di Kedah ini sudah mempunyai keunikannya tersendiri dari segi muka buminya, batu-batan, tumbuhan haiwan, nilai ekopelancongan dan sejarahnya. Gunung Jerai juga penting sebagai pedoman untuk pelayaran masuk ke Sungai Merbok. Maka sebab itulah Sungai Merbok dan Lembah Bujang menjadi kawasan penting sejarah Malaysia yang menjadi tempat penempatan manusia sejak lebih 2000 tahun dahulu.
Sekarang kawasan ini dinobatkan sebagai Jerai Geopark. Penjenamaan baharu ini memberikan cabaran baharu kepada kawasan ini, penduduk tempatan dan kerajaan negeri dalam memastikan kawasan ini terkawal sesuai dengan kriteria sebuah geopark.
Banyak perkara perlu diberikan perhatian dari semua aspek alam semula jadi flora, fauna dan geologi, kebudayaan, gaya hidup masyarakat, pengurusan sisa pepejal dan tapak sejarah.
Walaupun Jerai Geopark sudah dilancarkan, namun pengetahuan masyarakat umum tempatan masih belum jelas.
Satu tindakan lengkap perlu dilakukan segera sebelum nilai-nilai sebenar Geopark terjejas.
Ekosistem pantai adalah antara ekosistem penting bagi Jerai Geopark. Tambahan lagi, kerana terdapat lima pulau-pulau kecil dan tidak mempunyai penghuni.
Ini membuatkan kawasan ini menarik dari segi tiada gangguan manusia dan menggalakkan pertumbuhan batu karang dan hidupan laut amnya. Sumber laut ini menjadi tempat penting habitat ikan dan berpeluang sebagai tarikan ekopelancongan. Begitu juga dengan bahagian daratan pulau sesuai sebagai habitat haiwan terutamanya burung-burung. Burung penting seperti Helang Siput (Haliaeetus leucogaster) boleh membiak di kawasan pulau sekiranya tidak diganggu.
USM bersama bersama Universiti Utara Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Perhilitan Jabatan Perhutanan, Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Persatuan Pencinta Alam (MNS) Cawangan Pulau Pinang dan Taman Botani Pulau Pinang mengadakan ekspedisi saintifik bagi merekodkan kepelbagaian biologi sebenar dan status sosioekonomi kawasan pinggir Gunung Jerai hingga ke Pulau Songsong.
Program H2O (Highland to Ocean) ini menghasilkan artikel-artikel bertujuan mengumpul data terperinci bagi mengenal pasti taburan dan status semua jenis haiwan akuatik dan terumbu karang di kawasan pulau ini. Kepulauan berhadapan dengan Gunung Jerai ini dicadangkan untuk dijadikan sebagai satu lagi taman laut. Setakat ini terdapat hanya satu Taman Laut di Pantai Barat Semenanjung iaitu Pulau Payar, Langkawi berbanding 35 buah gugusan pulau berada di Laut China Selatan.
Kajian yang diketuai oleh USM itu merangkumi kepelbagaian batu karang di bahagian Utara Selat Melaka, kepelbagaian makrofauna di kawasan pasang surut, timun laut, alga di perairan dan kepelbagaian tumbuhan berbunga Pulau Songsong.
Faktor geologi dan sosio-ekonomi juga termasuk dalam skop kajian. Namun kajian ini masih belum lengkap dan Jerai Geopark memerlukan penglibatan lebih ramai lagi penyelidik dan agensi bagi menambah maklumat saintifik dan sosio-ekonomi kawasan berkenaan. Satu agensi tempatan diperlukan bagi menyelaraskan kajian yang akan dijalankan.
Maklumat kajian boleh digunakan dalam perancangan dan pengurusan Jerai Geopark.
Maklumat yang diterbitkan berkaitan kawasan ini seperti jurnal Zookey 2015 tentang timun laut, Jurnal Academy Science Malaysia (ASM) 2013 berkaitan moluska, Malayan Nature Journal 1994 dan Tropical Life Science Research 2009 yang masing-masing melaporkan tentang ikan dan ketam air tawar dan burung-burung di habitat berbagai ketinggian dan lain-lain penerbitan boleh digunakan sebagai rujukan.
Sebelum 2008, nelayan dan orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi perairan Pulau Songsong kerana ia digunakan untuk latihan menembak peluru berpandu oleh pesawat pejuang Tentera Udara Australia. Tentera Udara Australia mengambil alih pulau tersebut daripada Tentera British sejak 1940-an. Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia tamat, pulau terbabit diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan.
Kini Pulau Songsong terbuka kepada orang ramai.
Oleh kerana terdapat cadangan Pulau Songsong sebagai taman laut, tinggi kepelbagaian biologi dan mempunyai kepentingan dalam ekopelancongan maka kawalan dari segi kemampuan tampungan pulau penting.
Kajian lanjut yang bersepadu dan merentas disiplin perlu segera dilakukan terutamanya dari segi publisiti untuk kesedaran rakyat, pelaksanaan undang-undang dan memenuhi keperluan sebuah geopark.
Siri 93










