JAKARTA 28 Nov. – Pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu sepatutnya tidak boleh beroperasi ekoran masalah teknikal malah tidak harus dibenarkan untuk melakukan penerbangan pada hari kejadian.
Laporan awal siasatan nahas itu oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) itu bagaiamanapun tidak menerangkan secara jelas punca nahas yang telah mengorbankan kesemua 189 penumpang pada 29 Oktober lalu.
Menurut para penyiasat, syarikat Lion Air sepatutnya menambah baik sistem keselamatan dan kerja pembaikan pesawat miliknya.
Namun kata para penyiasat, syarikat berkenaan tetap meneruskan perkhidmatan pesawat itu walaupun berulang kali gagal untuk menyelesaikan masalah kelajuan dan indikator, beberapa hari sebelum nahas berlaku.
Menurut Ketua KNKT, Nurcahyo Utomo, sebelum kejadian, pesawat berkenaan telah melakukan penerbangan dari Denpasar, Bali ke Jakarta dan ketika itu berlaku masalah teknikal namun juruterbang memutuskan untuk meneruskan penerbangan.
“Pesawat Boeing Co 737 MAX itu tidak layak lagi beroperasi dan melakukan penerbangan,” katanya kepada wartawan.
Nurcahyo berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada sistem antitegun menjadi punca nahas pesawat itu.
“Kami masih belum tahu sama ada sistem antitegun menjadi penyumbang kepada nahas itu atau tidak. Terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” katanya.
Hasil siasatan tersebut dijangka meningkatkan kebimbangan terhadap masalah sistem utama salah sebuah pesawat penumpang komersial paling maju dan baharu itu.
Laporan akhir siasatan nahas itu dijangka dibentangkan pada tahun depan.
Dalam pada itu, para penyiasat memberitahu sebelum pesawat JT610 terhempas, juruterbangnya telah memaklumkan pihak pengawal trafik udara tentang ‘masalah kawalan penerbangan’ yang dihadapi.
Ketika penerbangan pada awal pagi itu, salah seorang juruterbang telah meminta pihak kawalan penerbangan mengesahkan altitud dan kelajuan pesawat.
Juruterbang itu kemudian melaporkan mereka mengalami masalah kawalan penerbangan.
Laporan awal siasatan itu juga adalah selari dengan penemuan awal yang menyatakan data perakam telah mengesan masalah pada angle of attack (AOA). – AGENSI










