SEBERANG PERAI – Seorang perunding kecantikan kerugian sebanyak RM25,000 selepas menyedari dirinya diperdaya sindiket Macau Scam di Kepala Batas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, wanita berusia 26 tahun itu menjadi mangsa penipuan tersebut selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar anggota polis bernama Sarjan Ang.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan telah terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan berkaitan dadah sebelum diminta memindahkan wang berjumlah RM25,000 ke dalam dua akaun bagi urusan siasatan.
“Mangsa yang takut kemudiannya memindahkan wang itu menerusi lima transaksi selama seminggu sebelum menyedari dia diperdaya dan membuat laporan polis semalam,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE










