PULAU PINANG 25 Nov. – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap mempertimbangkan segera bantuan khas bencana banjir kepada mangsa yang dilanda banjir kilat di beberapa daerah di negeri ini, Rabu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, beliau telah membuat permohonan itu kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan berharap mendapat maklum balas segera daripada kerajaan negeri.
Ujar beliau, banjir kilat di Bayan Lepas minggu lalu disifatkan antara terburuk pernah berlaku di kawasan itu menyebabkan ratusan rumah penduduk dinaiki air dan merosakkan harta-benda.
“Banjir minggu lalu agak teruk terutama di kawasan Bayan Lepas dan ramai penduduk yang terjejas, jadi saya berharap peruntukan khas itu dapat disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Tambah Azrul Mahathir, masalah itu turut dibangkitkan beliau ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu supaya kerajaan negeri mengambil kira permasalahan di hiliran dalam meluluskan sesebuah pembangunan.
Beliau berkata, kadar tampungan air di Sungai Teluk Kumbar dan Sungai Bayan Lepas di sini setiap kali hujan lebat perlu diambil kira supaya keadaan banjir dapat dikawal dan tidak menjadi lebih buruk pada masa depan.
Dalam kejadian Rabu lalu, hujan lebat yang bermula pukul 3.30 petang menyebabkan empat daerah di negeri ini terjejas teruk akibat banjir dengan kira-kira 30 orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Daerah yang terjejas teruk itu membabitkan tujuh kawasan di Bayan Lepas; lapan kawasan di Teluk Kumbar; empat kawasan di Bayan Baru serta enam kawasan di Bayan Lepas.
Hujan lebat lebih empat jam itu juga menyebabkan rumah penduduk di kawasan terlibat dinaiki air antara 0.3 meter hingga satu meter.











