ARAU 15 Nov. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar perpustakaan sentiasa proaktif dan kreatif dalam usaha menarik minat pengunjung.
Titah baginda, program-program pembudayaan membaca perlu dijenamakan semula supaya lebih menarik dalam usaha menggamit pengunjung terutama generasi muda.
Selain itu, titah baginda, idea-idea baharu juga boleh dibentuk dalam sesi-sesi diskusi atau melalui kajian keberkesanan program.
“Setiap program perlu dinilai impaknya kepada masyarakat dan kesannya dalam bentuk situasi menang-menang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program Xplorasi Ilmu dan Fiesta Seni 2018 di Perpustakaan Awam cawangan Simpang Empat di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa induk penganjuran, Datuk Hamdan Bahari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis, Azizi Janan.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menyentuh berkaitan Dekad Membaca Kebangsaan 2030 yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini.
Baginda amat menyambut baik hasrat ini kerana ia mampu membudayakan minat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya rakyat Perlis.
“Bagi mencapai hasrat ini, kita seharusnya mula menggerakan langkah permulaan seperti yang telah digerakan oleh Perpustakaan Awam Negeri di seluruh negara iaitu program jom baca 10 minit. Walaupun tempohnya amat singkat, tetapi saya percaya jika diamalkan, akan menjadi satu amalan kepada diri seseorang,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE










