Perpaduan tak semudah diucap - Utusan Malaysia

Perpaduan tak semudah diucap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ada menganggap terlalu ‘tajam’ apabila diajukan persoalan: “Sudah jemu sangatkah rakyat Malaysia menikmati damai dan makmur sejak berzaman?”. Namun, persoalan itu amat relevan sebenarnya apabila menelusuri perkembangan di akhir-akhir ini yang kelihatannya ada semacam kecenderungan besar sesetengah pihak untuk merombak ikatan perpaduan dan muhibah yang terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum kepada suatu suasana yang meresah dan membimbangkan.

‘Sesetengah pihak’ yang dimaksudkan bukan di kalangan rakyat biasa. Mereka terdiri daripada kalangan pihak yang ada kedudukan dalam masyarakat, dalam politik, malah mungkin dalam kerajaan. Mereka sering ‘memulakan’ (spark) sesuatu isu, dan kalangan mereka jugalah selalunya ‘meniupkan’ (blow) isu berkenaan dengan tujuan yang hanya mereka saja lebih tahu.

Apa pun, secara mudahnya rakyat dapat mengagak, selalunya tindakan demikian dilakukan oleh kalangan yang mahu muncul sebagai ‘juara’ dalam kononnya membela nasib satu-satu kaum. Mereka mahu muncul sebagai ‘jaguh’ atas segala isu, kononnya mengenai hak dan kebebasan. Dan kecenderungan besar yang turut kelihatan atas segala tindakan mereka itu adalah, tanpa menghiraukan ketetapan dan peruntukan yang sudah sedia termaktub dan termeterai di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jurusan sebenar yang dicari mereka adalah demi kepentingan politik. Mereka sengaja mencari dimensi baharu dalam anutan penghidupan yang sudah lengkap berstruktur. Mereka seboleh-bolehnya mahu menafikan apa yang sedia wujud khususnya dalam konteks kenegaraan di Malaysia.
Tindakan mereka boleh dianggap sebagai ‘penaja’ kepada perpecahan. Kehadiran mereka sebagai ‘pengganggu’ kepada keharmonian masyarakat. Ini kerana, rata-rata kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau budaya sudah sekian lama menikmati hidup aman sejahtera, tanpa terhalang peluang dan laluan untuk meraih setinggi mana kejayaan serta setahap mana kekayaan.

Benar! Kepuasan adalah suatu pencarian yang tidak pernah bertepi. Diikutkan hati, semua bangsa dan keturunan mahu membolot seberapa banyak ‘keistimewaan’. Hanya kalangan mereka yang tahu bersyukur, berterima kasih mampu memahami konsep hidup bertoleransi, berbudi serta berbakti demi kebaikan semua.

Semua rakyat Malaysia sedar, peristiwa hitam 13 Mei 1969 – suatu detik yang amat diharap tidak berulang. Perpaduan biar menjadi lebih utuh dan erat. Rupa-rupanya, masih ramai terutama kalangan ahli politik yang tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa ungkapan itu bagi mereka sekadar ‘mainan kata’ tanpa tulis di hati.

Sepatutnya, saban tahun bersilih musim, pilihan raya umum (PRU) beralih suasana, akan hadirlah perubahan dan persekitaran baharu yang lebih menyenangkan kehidupan semasa serta menjanjikan masa depan yang melegakan. Jika tidak rakyat akan hanya berkata: “Rupanya lain yang diharap, lain pula yang dapat…”.

Juga benar, perpaduan bukan semudah diucap. Perpaduan hanya boleh diikat dengan rasa penuh insaf terhadap hakikat, bahawa kehidupan perlu saling memberi dan menerima, saling lengkap melengkapi. Asasnya kejujuran, selain berpandukan apa yang sudah dimuktamadkan melalui proses perbincangan dan persetujuan.

Jadilah ‘penaja’ kepada pemupukan nilai penyatuan, bukan perpecahan. Buktikan keikhlasan melalui pemahaman sejarah dan latar belakang kenegaraan Malaysia yang istimewa dan tersendiri. Mengejar sesuatu yang ‘terpesong’ dari asas kebenaran hanya seumpama ‘menempah’ kepayahan yang tidak mungkin ditemui penyelesaian.

Rujuk dan hayatilah Rukun Negara, suatu wadah bagi menghimpun semangat bekerjasama, bersefahaman dan berperadaban tinggi. Dengan cara ini, rakyat Malaysia akan terus berbangga kerana dapat hidup dalam suasana rukun damai, selain mendapat sanjungan masyarakat dunia.

Mereka yang bertanggungjawab di mana-mana institusi sebagai pensyarah, pendidik, imam, ketua jabatan atau agensi, ketua keluarga, penggiat masyarakat dalam bidang-bidang politik, seni, budaya, mahu pun pengamal-pengamal media sosial, semuanya harus berperanan sebagai penyubur perpaduan, bukan ‘penaja’ perpecahan. Apatah lagi bagi anda yang berkhidmat di institusi-institusi khusus dalam hal ehwal pengurusan perpaduan peringkat negara atau negeri.

‘Perpaduan’ bukan semurah barangan untuk digadai atau ‘diniagakan’ semata-mata untuk kepentingan politik. Sebaliknya, perlu diingat, perpaduan adalah asas kemajuan. Mana mungkin sesebuah negara boleh bergerak maju jika perpaduan rakyatnya hidup sengketa dan perbalahan.

Hargai yang ada, sebelum menyesali akan kehilangannya!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik 
tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN